Gunakan Undi Anda Demi Kesejahteraan Negara Kita

ENGLISH | CHINESE | TAMIL

Konferensi Uskup-uskup Katolik Malaysia telah menulis Surat Pastoral
kepada Umat Tuhan pada 24 April, 2018

Gunakan Undi Anda Demi Kesejahteraan Negara Kita

Semua warganegara harus sedar tentang hak dan juga kewajipan untuk menggunakan undi mereka dengan bebas bagi meningkatkan kesejahteraan bersama.
(Gaudium et spes — Gereja dalam Dunia Moden, n.75)

Umat Tuhan yang dikasihi,

Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang sekali lagi memberikan kita peluang untuk terlibat dan menunaikan hak demokratik kita untuk mengundi dan memilih pemimpin-pemimpin kita. Setiap Pilihan Raya Umum menyalakan harapan, aspirasi dan keinginan pada diri setiap kita bagi membantu membentuk negara kita bukan untuk diri kita sahaja tetapi untuk generasi akan datang.

MENELITI

Gereja memanggil ahli-ahlinya untuk melaksanakan sewajarnya hak dan kewajipan untuk mengundi demi kesejahteraan bersama. Oleh itu, sebagai orang Kristian, kita mempunyai peranan sivik dan moral untuk terlibat dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara kita yang dicintai.

Sebagai penjaga yang bertanggungjawab, tidak ada tempat untuk sikap acuh tak acuh atau sikap tidak peduli demi pentadbiran negara yang lebih baik. Setiap undi membantu menetapkan hala tuju negara dan masyarakat kita untuk lima tahun akan datang dan layaklah kita meminta bantuan dan bimbingan ilahi dalam membuat pilihan agar negara kita berkembang dan terus makmur.

Setiap pengundi yang berdaftar mesti 'hadir dan mengundi' kerana di sinilah kita menunaikan tanggungjawab kita dan sekali lagi menyatakan hak kita bagimenjamin masa depan negara kita dengan memilih pemimpin-pemimpin kita. Kita perlu memilih pemimpin yang benar-benar dapat menjaga semua ‘rakyat’, mempromosi keadilan dan kesaksamaan, berjuang untuk prinsip-prinsip dengan integriti, dan bekerja untuk kebaikan rakyat dan berusaha untuk membina sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur.

RENUNGAN

Setiap pilihan raya juga merupakan peluang untuk menilai diri sendiri bukan sahaja sebagai sebuah negara, tetapi yang lebih utama adalah kita sebagai rakyat negara ini. Oleh itu, sebagai warganegara, kita harus memilih pemimpin politik yang tidak tercela dengan rasuah supaya mereka dapat membantu kita mencapai kesejahteraan bersama. Kita juga mempunyai tanggungjawab untuk mengambil bahagian dalam proses politik iaitu dengan mengundi. Kita mesti mengundi melalui pertimbangan doa dan mengikut hati nurani kita yang dibentuk oleh iman Katolik.

Kita, sebagai warga Katolik, harus memberitahu dan membentuk hati nurani kita mengikut prinsip-prinsip ajaran sosial Katolik. Prinsip pertama dan paling penting dalam ajaran sosial kita ialah martabat setiap manusia dan hak asasi setiap kehidupan dari mula konsepsi hinggalah kematian semulajadi.

Menghormati martabat manusia adalah asas kepada hak asasi kehidupan. Ini adalah prinsip yang tidak boleh diniagakan dan disokong oleh kepercayaan kita. Ramai orang bukan Katolik juga berpendapat bahawa masyarakat yang berdedikasi kepada kesejahteraan bersama harus melindungi anggota masyarakat yang paling lemah. Prinsip-prinsip lain termasuk panggilan dan penyertaan masyarakat, kekhususan keluarga, maruah kerja dan hak pekerja, prinsip perpaduan dan subsidiariti, dan komitmen untuk menjaga alam sekitar.

TINDAKAN

Apa yang boleh saya lakukan?

  • Melaksanakan tanggungjawab moral saya untuk mengundi berlandaskan suara hati saya.
  • Menggalakkan ahli keluarga dan rakan-rakan saya untuk turut mengundi.
  • Sentiasa peka dengan isu-isu di sekeliling anda dan mengetahui maklumat tentang prestasi semua calon dan parti politik.
  • Memastikan pilihan raya berjalan dengan bebas dan adil; menjadi sukarelawan untuk menjadi Pengundi dan / atau Pengira Undi.
  • Menyediakan pengangkutan dan apa juga bantuan yang diperlukan untuk individu yang memerlukan dan lain-lain untuk memastikan mereka mempunyai peluang untuk melaksanakan hak mengundi mereka.
  • Berdoa untuk pilihan raya yang aman dan bersih dan bagi semua pemimpin untuk menghormati keputusan Pilihan Raya ke-14.
  • Mengadakan Hari Doa dan Puasa untuk PRU-14 seperti yang diisytiharkan oleh Konferensi Para Uskup Malaysia pada tarikh / masa sebagaimana yang ditentukan oleh keuskupan dan paroki masing-masing.
  • Menyahut dan mengambil bahagian dalam Panggilan untuk Doa yang dilakukan oleh saudara-saudari Kristian kita dari denominasi gereja:
    • NECF Malaysia: A Call for 21.21.21. Time of Prayer and Fasting for the Church and our Beloved Nation (www.necf.org.my/newsmaster.cfm?&menuid=43&action=view&retrieveid=1675)

Semoga Roh Kudus, memberikan kita kebijaksanaan dan ketabahan yang kita perlukan dalam memilih orang-orang yang akan mewakili dan memimpin kita di negara kita dan kerajaan negeri. Oleh itu, kami menggesa anda, perjuangkanlah, tegakkan kebaikan bersama di negara kita, memilih dengan bijak, dan undi anda akan menjadi rahmat bagi negara kita.

Kita mempersembahkan negara kita ke tangan Bonda Maria untuk sentiasa membimbing, melindungi dan membawa kita rahmat yang berlimpah.

Semoga Tuhan memberkati anda semua dan negara kita, Malaysia.

 

Salam Kasih dalam Kristus

Uskup Agung Julian Leow Beng Kim
Presiden Konferensi Uskup-uskup Katolik Malaysia
24 April, 2018

Gunakan Undi Anda Demi Kesejahteraan Negara Kita Gunakan Undi Anda Demi Kesejahteraan Negara Kita